
PPQ ONLINE: Pada 28 Disember 2021, PPQ telah mengadakan Webinar Bertajuk Perkongsian Pelaksanaan Program Akademik Berbentuk Kerjasama : Dual Ijazah (Dual Degree), Dwi Ijazah (Double Degree) Dan Ijazah Bersama (Joint Degree). Program ini telah diadakan secara dalam talian melalui platform zoom.
Selaras dengan keperluan pendidikan semasa, program akademik berbentuk kerjasama merupakan antara inisiatif yang digalakkan bagi mengembangkan persekitaran pendidikan dan penyelidikan agar dapat bersaing dengan institusi pendidikan di dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa.
Menurut YBrs. Prof. Madya Dr. Noor Hasmini binti Hj. Abd. Ghani (Pengarah, Pusat Pengurusan Kualiti Universiti, PPQ), webinar ini diadakan bertujuan untuk menerangkan dengan lebih jelas mengenai kaedah pelaksanaan program akademik berbentuk kerjasama yang mana kepelbagaian mod penawaran pengajian dan corak pengajian yang lebih fleksibel akan dapat menarik minat bakal pelajar dan sekaligus dapat meningkatkan jumlah pelajar di UMK. Disamping itu, webinar ini adalah bertujuan untuk mempertingkatkan hubungan atau aktiviti UMK dengan universiti lain melalui MoU atau MoA yang mana ia juga akan menggalakkan perkongsian kepakaran dengan universiti yang bekerjasama dengan UMK.
Panel jemputan bagi sesi perkongsian ini adalah YBhg. Prof. Ts. Dr. Kamal bin Yusoh (Pengarah, Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik (PIDA), Universiti Malaysia Pahang (UMP)) yang mana beliau telah membicarakan tentang polisi dan dasar serta maklumat terkini berkaitan proses pelaksanaan Program Akademik Berbentuk Kerjasama Dual Ijazah (Dual Degree), Dwi Ijazah (Double Degree) Dan Ijazah Bersama (Joint Degree). Moderator bagi webinar ini dikendalikan oleh YBrs. Dr. Suhaila binti Abdul Kadir, Ketua Bahagian Jaminan Kualiti Akademik, Pusat Pengurusan Kualiti Universiti (PPQ)
Pihak PPQ merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada kesemua Ketua PTj, dan semua staf yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung dalam webinar pada kali ini. Kami di PPQ berharap agar perkongsian mengenai kaedah pelaksanaan program akademik berbentuk kerjasama ini dapat membantu UMK membangunkan program akademik yang lebih berdaya saing dan relevan dengan keperluan industri.

