23-Dec-2024

PERKONGSIAN PASCA BANJIR KESELAMATAN DAN KESIHATAN DI TEMPAT KERJA


PERKONGSIAN PASCA BANJIR KESELAMATAN DAN KESIHATAN DI TEMPAT KERJA

BACHOK 23 Disember 2024 I Penilaian kesihatan pekerja pasca banjir adalah langkah penting untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mangsa yang terkesan setelah berlakunya bencana banjir.

Jurutera Pusat Pengurusan Persekitaran, Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH), Encik Ahmad Farhan Shauki Bin Sulong berkata, langkah-langkah keselamatan dan kesihatan awal perlu diambil di tempat kerja ketika pasca banjir antaranya ialah pemeriksaan struktur bangunan dan pemeriksaan sistem elektrik serta peralatan.

Beliau berkata, pastikan tempat kerja selamat dan bersih untuk pekerja kembali beroperasi dengan produktif.

“Sebelum pekerja kembali bekerja, pastikan bangunan dan struktur tempat kerja diperiksa oleh jurutera atau profesional yang berkelayakan.

“Periksa kerosakan seperti retak pada dinding, bumbung bocor, atau lantai yang rosak. Ini penting untuk memastikan bangunan tersebut selamat untuk bekerja.

“Selain itu, kawasan yang terjejas oleh banjir perlu dibersihkan dengan teliti untuk mengelakkan pencemaran dan penyebaran bakteria. Penggunaan pembersih dan disinfektan yang sesuai adalah penting untuk menghapuskan risiko jangkitan,” katanya pada Sesi Perkongsian Pasca Banjir Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja, di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canselori, UMK Bachok, hari ini.

Sesi perkongsian Peringkat Pejabat Naib Canselor Bil. 4/2024 ini adalah anjuran Pusat Pengurusan Kualiti Universiti (PPQ) telah dihadiri oleh 40 staf Pejabat Naib Canselor.

Tambah Encik Ahmad Farhan Shauki berkata, banjir sering menyebabkan tekanan mental kepada pekerja yang kehilangan harta benda, terjejas dengan kerosakan tempat tinggal, atau yang terpaksa bekerja dalam keadaan yang tidak biasa.

Katanya, justeru itu keletihan dan stres boleh mengurangkan prestasi kerja dan meningkatkan risiko kemalangan.

“Selain itu, pemeriksaan kesihatan segera perlu diambil dan hendaklah menyediakan pemeriksaan kesihatan bagi pekerja yang terdedah kepada risiko jangkitan.

“Menyediakan vaksin bagi pekerja yang berisiko terkena penyakit (seperti vaksin Hepatitis A). Memberikan pertolongan cemas kepada pekerja yang mengalami kecederaan dan mewujudkan ruang untuk rawatan kecemasan di tempat kerja,” katanya.




ARCHIVE
2025
December (1)
2024
December (1)
2023
May (1)
2022
July (1)
April (1)
March (3)
2021
February (2)
2020
December (1)
September (3)
August (2)